(Ardiansyah Bima) Ada kaum wanita menempuh kepayahan hidup di awal remaja
mereka dan berubah kepada lebih baik setelah dia bekerja dan berumah tangga.
Ada pula yang susah ketika awal perkahwinan dan bahagia
akhirnya setelah anak semakin besar
Ada juga yang susah di penghujung hayat mereka. Inilah yang
menyedihkan.
"Nasib saya tidak seperti ibu ibu di atas tadi, boleh
saya katakan hidup saya susah, tertekan jiwa, hati dan perasaan sejak dari saya
berada di zaman remaja hinggalah setelah saya bercucu sekarang."
"Saya rasa mungkin saya salah seorang ibu malang di
dunia ini, namun saya taklah kesal sudah nasib saya. Ini kehendak Allah saya
redha, tetapi saya kesal sikap anak menantu yang membuatkan hati saya hancur
seperti kaca terhempas ke batu,''
Demikian cerita Puan Hamizah dalam surat pendek yang
dihantarkannya dan ketika kami berbual petang Isnin lalu. Sebenarnya sudah
beberapa kali kami berbual, tetapi perbualan kami terputus-putus, kerana
gangguan cucu menangis dan beliau takut bercakap terlalu lama di telefon
bimbang anak menantunya tidak dapat menghubunginya di rumah kerana telefon
sedang digunakan. Jadi kami berbual kira-kira 6 minit setiap panggilan.
Hinggalah saya faham perasaan hati beliau yang terluka selama ini.
"Dah lama sangat saya nak luahkan isi hati saya ini,
tetapi tak ada orang yang boleh saya percayai, lagi pun kehidupan saya yang
terkurung tidak mengizinkan saya berjumpa dengan ramai orang. Nak cakap dengan
jiran takut anak terasa malu. Jadi saya simpan semuanya dalam hati."
"Tetapi apa pun kesimpulan masalah saya ini semuanya
berpunca kerana kemiskinan dan kesusahan hidup saya. Kalau hidup kita miskin,
anak menantu pun tak suka, malah menganggap kita menyusahkan hidup mereka
sahaja. Itulah nasib saya."
"Saya ibu tunggal, diceraikan kerana suami saya nak
kahwin lagi, bakal isteri barunya tak mahu bermadu, jadi tinggallah saya
bersama anak-anak seramai empat orang ketika itu masih dalam sekolah rendah dan
dua sekolah menengah. Kerana anak pertama dan kedua perempuan agak pandai sikit
dapatlah dia belajar ke sekolah menengah sains berasrama. Walaupun duduk asrama
saya terpaksa hantar duit sebab belanja mereka agak tinggi, macam-macam benda
nak dibeli"
"Saya bekerja keras untuk mencukupkan belanja mereka di
samping dua orang lagi yang masih bersekolah rendah. Ayah mereka setelah
menceraikan saya nafkah anak-anak langsung tak bagi. Nak jengok anak pun takut
isteri baru marah. Puas saya pergi pejabat dan turun naik mahkamah syariah tapi
gagal dapatkan nafkah. Buat habis duit tambang aja, terpaksa cuti akhirnya saya
buat keputusan biarlah dia berseronok dengan kehidupan barunya dan jawablah di
akhirat nanti".
"Ketika bercerai saya tak ada rumah, menyewa rumah
kecil di kawasan dekat KL memang mudah saya pergi kerja, tapi sewa rumahnya
tinggi. Selain bekerja saya jual kain potong yang orang hantar minta saya
jualkan, paling tidak dapat juga anak-anak berganti pakaian yang mereka
berikan. Biarpun pakaian terpakai tetapi masih baru, senanglah kami berpakaian.
Kalau besar saya kecilkan."
``Dengan izin Allah anak yang tua sambung belajar buat
diploma dua tahun kemudian yang kedua pulak ikut sama. Harapan saya bila mereka
bekerja nanti senanglah sikit hidup saya.
Sayangnya saya cuma berharap, Allah yang menentukan".
"Tak sampai enam bulan bekerja dia nak kahwin.
Tersentak juga rasa hati, cepat sangat anak saya laku. Walaupun saya minta dia
tangguhkan dulu, sebab tak berduit buat kenduri, tetapi yang lelaki mendesak.
Anak saya Izah terpaksa ikut. ``Kenduri kami ala kadar saja. Kata Izah bakal
suaminya tak suka buat majlis panggil ramai orang, membazir aja. Saya ikutkan
memang pun saya tak berduit lagipun hantarannya tak tinggi cukup buat kenduri
saja. Selesai majlis cuma dua malam menantu saya tidur di rumah, mereka terus
pindah rumah lain".
"Dua hari lepas mereka pindah, ketika saya sibuk
mengira hutang belum selesai Izah datang ke rumah bersama suaminya, bertanyakan
mana set bilik pengantin sebab dia nak bawa ke rumah mereka. Izah tahu saya
cuma beli katil dan tilam, almari pakaian dan almari solek pakai yang lama lagi
pun rumah sewa kami kecil sangat mana nak muat. Tetapi sebenarnya saya tak
mampu nak beli semua benda itu. Kerana tak ada set tersebut menantu saya minta
beli yang baru. Hutang lagi. Izah tak berani bantah walaupun dia tahu saya tak
berduit. Hutang lama tak selesai hutang baru bertambah. Namun dalam hati kecil
saya mengharapkan kalau Izah bagi saya RM100 setiap bulan seperti sebelum dia
kahwin, mungkin hutang itu boleh saya selesaikan. Tetapi sejak Izah kahwin dia
tak beri saya duit langsung".
"Waktu itu memang saya susah, mana nak bayar hutang,
tiga orang anak lagi tengah belajar, seorang peringkat akhir pengajiannya,
sementara seorang lagi nak ambil SPM, tetapi pada siapa saya nak mengadu,
saudara mara bukan orang kaya, mereka pun duduk kampung harapkan anak-anak.
Namun mereka masih bernasib baik daripada saya kerana ada anak-anak yang
menolong. Berbanding saya...".
"Kerana terdesak saya minta Izah bantu bayarkan duit
pereksa adiknya, tetapi kata Izah dia tak ada duit, semua duit gajinya suaminya
pegang. Kata Izah suaminya kata lepas kahwin dia mesti ikut perentah suami
bukan emak lagi, syurga bawah tapak kaki suami. Lagi pun dia nak simpan duit
beli kereta baru dan rumah. Hendak tak nak saya terpaksa tebalkan muka pinjam
pada kawan sekerja RM100 janji bayar dua bulan. Ketika Imah habis belajar saya
menyimpan hajat mungkin bila dia kerja nanti dia boleh membantu saya. Imah
pulak lambat dapat kerja, dia terpaksa kerja sementara di kilang, memang dia
ada bantu saya cuma beberapa bulan sebelum dapat kerja yang memaksanya pindah
duduk nun di Selatan".
"Hati saya suka dalam duka. Gembira anak dapat kerja
tapi sedih dia terpaksa tinggalkan saya. Di tempat baru dia terpaksa sewa
rumah, jadi untuk tiga bulan pertama memang dia tak kirimkan saya duit sedikit
pun. Sebaliknya saya terpaksa meminjam bagi dia bekalan sedikit duit semasa
pindah dulu. Sekali lagi kawan jadi mangsa. Tapi saya bayar balik semuanya
walaupun berdikit-dikit".
"Anak kedua pun cepat jodoh, tak sampai setahun bekerja
dia kahwin orang sana. Saya buat kenduri kecil, nak panggil ramai orang kita
perlu belanja besar. Asalkan mereka selamat kahwin sudah cukup. Ayah mereka
datang untuk izinkan nikah saja. Tak ada satu sen pun dia keluarkan duit
belanja".
"Kalau orang lain gembira anak perempuan mereka cepat
kahwin tapi orang susah macam saya cuma tangis mengiringi mereka. Sedih dan
takut apakah Imah juga ikut jejak kakaknya serahkan semua duit gajinya kepada
suami. Kalau saya orang senang memang saya tak harap duit mereka, tetapi susah merekalah
harapan saya".
"Dua orang anak lelaki saya Ismail dan Ishak faham
masalah saya. Ismail tolak tawaran buat diploma walaupun dia layak, dia bekerja
di kilang, katanya nak tolong saya dan adiknya habiskan belajar sampai
tingkatan lima".
"Saya menangis mengenangkan pengorbanannya, namun saya
terus memujuk supaya dia terus belajar, biarlah saya susah bekerja dan
berhutang, asalkan masa depannya terjamin, tetapi dia menolak, dia terus kerja
kilang. Katanya dia akan sambung belajar kalau ada rezeki. Tapi sampai kini dia
masih kerja kilang dengan pendapatan cukup makan saja. Anak keempat saya pun
berakhir dengan kerja kilang".
"Saya cukup sedih, tetapi apakan daya saya tidak ada
kemampuan untuk mendesak mereka terus belajar kerana saya pun tak berduit. Ayah
mereka tak ambil peduli selepas dia dapat empat orang lagi anak dengan isteri
baru dan masil kecil- kecil. Peristiwa itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu,
kini badan saya semakin tua, sudah tak berdaya nak bekerja lagi. Untuk
menampung hidup saya jaga anak orang yang dihantar ke rumah saya. Tetapi bila
Izah tak ada pembantu dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya.
Sekarang dah lebih 6 tahun".
"Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak
bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat
50 tahun, badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya
memang kelihatan tua. Saya fikirkan bila dia ambil saya tinggal di rumahnya
dapatlah saya ke surau dan buat amal ibadah dengan lebih selesa, malangnya sembahyang
terawih pun jarang-jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak
cucu".
"Bila sendirian saya selalu menangis mengenangkan
nasib. Dari kecil anak saya besarkan, berhutang keliling pinggang untuk
menyekolahkan mereka, tapi bila dah senang suami dia kutip hasil. Kalaulah anak
saya menjaga saya, agaknya tak sampai umur saya 65 pasti saya dah mati. Cuma 15
tahun sahaja dia menjaga saya. Tetapi kalau dia ada umur dia akan hidup bersama
suaminya lebih 42 tahun iaitu sejak 23 tahun umur dia mula bekerja hinggalah 65
tahun. Jadi apalah salahnya dia bantu hidup saya yang susah ini dan tolong
anak-anaknya melanjutkan pelajaran. Memang tugas ibu membesarkan anak-anak dan
menyekolahkan mereka, dan tak boleh minta pembalasan, itu benar, tetapi saya
bukan orang senang saya susah".
"Apa yang menyedihkan saya ialah hidup dua orang anak
lelaki saya sampai bila dia mesti bekerja jadi pekerja kilang. Bukan saya hina
pekerja kilang, tetapi mereka pandai, mereka dapat tawaran sambung belajar ke
IPTA. Apa salahnya kakak-kakak mereka menghulurkan bantuan kerana dia tahu saya
susah dan ayahnya tak membantu dan tak pernah beri nafkah. Salahkah saya
meminta bantuan. Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat
saya macam hamba abdi, kalau saya jadi pembantu rumah kepada orang lain tentu
saya dapat imbuhan, tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar
terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya
tinggalkan semasa bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan 4
orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya".
"Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak
dahulu, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana
duduki menumpang di rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan
tak berharta saya dibuat macam hamba. Nak berbual dengan anak pun terhad,
menantu sentiasa mengawasi, apa lagi kalau nak berbual dengan jiran
tetangga".
"Saya merasa amat sedih terutama bila besan atau
saudara mara menantu saya datang ke rumah, saya tunggang langgang di dapur
memasak, mereka cuma berbual dan menunggu hidangan terhidang di meja saya
betul-betul terhina".
"Lagi sedih bila menantu bising pasal bil elektrik dan
air meningkat. Sabun pencuci cepat habis pun merunsingkan fikirannya. Menantu
saya terlalu berkira pasal duit, duit, duit itu. Entah bila penderitaan saya
akan berakhir. Saya sentiasa berdoa supaya saya tidak terlantar sakit terlalu
lama sebelum mati. Kerana saya tak tahu siapa nak jaga saya nanti.''
Demikian cerita Hamizah dengan nada suara tersekat-sekat.
Saya hanya tumpang sedih apakah zaman ini masih ada anak-anak seperti ini,
Benarlah kata Pn Hamizah, kalau diri tak berduit bukan sahaja dihina orang,
anak-anak sendiri pun benci dan tak hormatkan kita lagi. Agaknya mereka terlalu
hormatkan suami kerana syurga di bawah tapak kaki suami. Ibu tak berguna lagi.
Tapi kata seorang teman suami boleh berganti kalau jodoh dah tiada, tapi ibu
itulah satu-satunya di dunia dan di akhirat.
Entahlah! Tapi sayangilah ibu semasa dia masih ada lagi.
Kerana doa ibu membawa berkat.
0 komentar:
Posting Komentar